Wednesday, April 16, 2008

SUARA-SUARA PELAJAR UPSI (8 APRIL 2008)

Seruan ini disampaikan berikutan penyiaran filem “Fitna” yang ditayangkan oleh ahli politik radikal Belanda Geert Wilders di internet. “Kita tidak boleh menganggap enteng upaya menyalakan api terhadap al-Quran”, tegas Qaradhawi. Qaradhawi menegaskan bahawa dakwaan Wilders dalam “Fitna” yang menyebutkan bahawa Islam mengajarkan kebencian dan pembunuhan, sangat berlawanan dengan ajaran Islam yang menyeru kasih sayang dan hidup bersama secara damai dengan semua pihak. Qaradhawi dalam kesempatan yang sama juga menyelar sikap sebahagian umat Islam yang turut mencemarkan nama Islam dan secara automatik membuka peluang bagi musuh-musuh Islam untuk memperburuk agama Islam yang hanif.

Memboikot barangan Belanda adalah jalan terakhir bagi isu ini, kerana isu ini bukan berkaitan dengan masyarakat Belanda tetapi kepada seorang figur sahaj. Oleh itu, pelaksanaan boikot harus berada di tangga terakhir dan menjadi alternatif yang bukan menjadi keutamaan. Alhamdulillah, Ulama tersohor dan terpercaya dalam kalangan ulama-ulama mu’tabar iaitu al-Imam Yusuf al-Qaradhawi yang juga ketua Ulama Islam antarabangsa, juga meletakkan usaha memboikot di tangga ke lima semasa menyatakan lima spektrum yang berisi seruan kepada kaum Muslimin untuk melawan serangan yang memburukkan Islam dan al-Quran.

Dalam keterangannya kepada Islamonline, Qaradhawi menegaskan, “Apa yang dilakukan oleh ahli politik radikal Belanda itu, sama dengan menyalakan api terhadap al-Quran”. Ia menambahkan, “Filem yang menuding al-Quran sebagai kitab suci fasis adalah pembohongan dan merupakan perkataan yang tidak dikeluarkan kecuali oleh orang yang bodoh, sombong dan keras kepala. Ini rangkaian baru dari rangkaian permusuhan yang telah dibangun oleh arus di Barat, yang mengambil keuntungan disebaliknya”. Lima hal yang digariskan Qaradhawi dan harus dilakukan umat Islam adalah:

· Menolak pendustaan ke atas Rasulullah s.a.w yang menyebutkan baginda seorang yang haus darah dan seorang haus seks, secara ilmiah. Penolakan ini harus dilakukan secara secara menyeluruh, hingga sampai kepada orang-orang yang selama ini memiliki imej buruk terhadap Rasulullah dan orang tidak tahu akan kemuliaan Rasulullah s.a.w.

· Melalui kaedah politik, sikap negara-negara Islam besar harus berdiri secara jantan untuk membela Islam dan Rasulnya.

· Penolakan massa dengan menekan pemerintahan kaum Muslimin untuk memiliki sikap tegas berdasarkan keimanan bahawa umat Islam masih hidup dan masih memiliki kecintaan besar terhadap keyakinannya.

· Qaradhawi menyerukan agar ada penolakan di lapangan seni dan budaya. Beliau menerangkan upaya itu misalnya, drama, filem atau drama bersiri untuk melurukan imej yang selama ini tertutup dari Islam.

· Pemboikotan ekonomi terhadap negara-negara yang mengizinkan penduduknya mencederai kesucian Islam. Pemboikotan ini adalah senjata yang mampu menyakitkan suatu negara.

Akhir kata, Belanda dan Israel adalah dua isu berbeza dan kami bersama dalam mengatakan bahwa memboikot barangan Israel adalah wajib, sepertimana Fatwa yang dikeluarakan oleh Al-Imam Yusuf al-Qaradhawi sebelum ini. Namun untuk memboikot barangan Belanda disebabkan isu “Fitna” tanpa melihat dalam konteks yang lebih luas terutama peluang dakwah, maka itu adalah satu kesilapan. Mungkin ada yang bakal menempelak tulisan ini, tapi fikirkanlah hal ini dengan fikiran yang rasional tanpa melibatkan emosi. Benar kita menyayangi Islam dan memarahi perbuatan yang memperlekehkan al-Quran, tetapi Islam juga mengajar kita bersikap rasional dan luas.

Lihat sahaja sejarah Islam di mana para sahabat terkejut ketika Nabi Muhammad s.a.w menerima Perjanjian Hudaibiyah. Sehinggakan Saidina Umar menyoal tindakan Nabi Muhammad s.a.w, namun baginda melihat perjanjian ini bukan setakat perjanjian tetapi baginda melihatnya dengan skop yang luas. Oleh sebab itu, kita juga perlu meniru sikap dan ibrah yang disampaikan kepada kita melalui tokoh yang bernama Muhammad s.a.w.

Peristiwa ini telah direkodkan dalam Sahih Bukhari dan Muslim, bahawa Saidina Umar al-Khatab berkata, “ Kemudian aku datang kepada Nabi Muhammad s.a.w, lalu aku bertanya kepada baginda. Bukankah engkau Nabi Allah? Baginda menjawab , “Benar”. Kemudian aku bertanya lagi, “bukankah orang-orang kita yang terbunuh akan masuk syurga dan orang-orang mereka akan masuk neraka?”. Baginda menjawab, “ Ya benar!” Aku bertanya lagi, “lalu mengapa kita menyetujui agama kita direndahkan?” Baginda menjawab, “ sesungguhnya aku ada Rasul Allah, aku tidak akan menyalahi Allah dan Dia pasti akan membela ku”. (Hadith Sahih)

No comments: