Wednesday, April 16, 2008

Siswa UPSI bantah Fitna

Metro Isnin 14 April 2008 :MAJLIS Perwakilan Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (MPPUPSI), Tanjung Malim, Perak bersama mahasiswa universiti itu mengadakan bantahan secara aman terhadap penyiaran filem “Fitna” yang ditayangkan ahli politik radikal Belanda, Geert Wilders di internet.

Yang Dipertuanya, Mohd Raimi Rahim, berkata bantahan itu sebagai tanda protes selain mengajak mahasiswa supaya peka dan sedar tanggungjawab membela keharmonian masyarakat sejagat dan keamanan negara.

Menurutnya, ia juga platform menyemai dan membina imej serta jati diri kental di kalangan generasi muda untuk menjadi pemimpin pada masa depan.

“Perhimpunan ini menggambarkan rasa peka dan tanggungjawab mengenai isu sensitif yang boleh menggugat keamanan sejagat selain mendedahkan generasi muda terhadap konsep kepimpinan.

“Tanggungjawab mahasiswa bukan pada akademik semata-mata tetapi aspek lain. Bantahan ini menegaskan kami tidak setuju dengan tindakan menyiarkan filem itu.

“Pada masa sama, ia menyedarkan mahasiswa mengenai kepentingan mesej bersatu padu. MPPUPSI bukan hanya bertindak menjaga kebajikan warga kampus, tetapi memperjuangkan aspek kesedaran yang boleh memberi nilai tambah atau manfaat kepada semua,” katanya.

MPPUPSI juga berterima kasih atas sokongan sekali gus memudahkan urusan penyelesaian masalah.

“Sehingga kini, MPPUPSI berpuas hati sudah berjaya menyelesaikan masalah seperti kediaman, pengangkutan dan pinjaman pengajian.

“Terbaru MPPUPSI berusaha menyelesaikan masalah mengenai kenaikan harga makanan hingga menyusahkan mahasiswa. Rundingan sedang dilakukan dan jika pengusaha masih ingkar, mungkin tindakan tegas akan diambil.

“Kami sentiasa bekerja keras untuk menjaga kebajikan mahasiswa, justeru sesiapa mempunyai masalah atau aduan, dialu-alukan untuk bertemu ahli exco MPPUPSI,” katanya.


No comments: